Tuesday, May 29, 2012

Hak Anak kepada Ayahnya...

Alhamdulillah....

Segala Puji pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan Salam ke atas Rasulullah S.A.W dan keluarganya dan para sahabatnya dan para tabii'in. Alhamdulillah Allah masih memberikan keizinanNya untuk diri ini bernafas dan terus menaip. Hanya secebis ilmu yang diperoleh, moga ianya bermanfaat untuk umat.

"Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". 
(Al Baqarah : 32)

Tertarik dengan kuliah Tarbiyatul Awlad ( Pendidikan anak anak) di Masjid Abu Ubaidah Taman Seri Rampai semalam.

Pengkisahan seorang ayah membawa anaknya yang degil berjumpa Amirul Mukminin (Saidina Umar Al Khattab). Konklusi kisah itu, Allah ingin mengajar kita bahawa apa itu hak anak terhadap ayahnya. Saidina Umar Al Khattab menyatakan bahawa ada 3 hak anak terhadap ayahnya. Perkara ini yang akan di soal oleh Allah kepada semua ayah di Mahsyar nanti mengenai hak anak terhadap ayah mereka.

1. Ibu yang baik untuk Anaknya

Seorang ayah perlu mencari ibu yang baik untuk anaknya. Seorang lelaki perlulah mencari seorang wanita yang baik agamanya, keturunannya, rupanya dan segala apa yang baik untuk melahirkan zuriat yang baik di masa hadapan nanti. Rasulullah juga telah mengajar kita dan menganjurkan kita (lelaki) dalam memilih pasangan hidup   untuk melayar bahtera perkahwinan kelak. Sesuai dengan hadis Nabi S.A.W :

"Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara, iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama, nescaya kamu akan bahagia (HR Bukhari dan Muslim)"

Rasulullah S.A.W menganjurkan kita memilih calon yang beragama. Kerana melalui rahimnya, zuriat kita bakal dilahirkan. Seorang lelaki perlu mencari calon ibu yang baik untuk anaknya. Tarbiyatul Awlad menerangkan anak akan merasakan rendah diri dan akan ia merendahkan semangat diri anak tersebut di kalangan keadaan sekelilingnya kelak kerana ayahnya gagal mencari ibu yang baik untuk anaknya.

Persoalannya, bagaimana mencari ibu yang solehah jika diri (lelaki) tidak soleh? Kerana peribadi wanita itu adalah cerminan peribadi mu wahai akhi. Peribadinya sekufu dengan peribadimu. Namun, tidak semua, jika inginkan yang solehah maka solehkanlah dirimu wahai akhi.

2. Memberi Nama Anak yang baik

Sunat memberi nama anak dalam masa seminggu selepas kelahirannya. Dalam memberi nama anak, di anjurkan memberi nama yang baik seperti nama para nabi, para sahabat dan nama nama yang indah. Nama itu ialah panggilan yang akan di panggil oleh Malaikat kelak di dalam kubur dan nama yang akan di panggil ketika mahsyar nanti oleh Allah. Sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W,

"Sesungguhnya kamu akan di panggil di hari akhirat nanti dengan nama nama kamu dan nama bapa kamu, maka elokkanlah namamu" (HR abu daud dan Ahmad)

Nama juga merupakan doa untuk anak itu. Maka anak berhak mendapatkan nama nama yang baik dari ayahnya. Kerana hak memberi nama anak itu terletak pada ayahnya.

Rasulullah bersabda : "Sesungguhnya hak anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya " (HR Al - bazzar)

Islam juga meletakkan garis panduan dalam meletakkan nama anak, antaranya bertanyakan kepada guru guru, orang orang soleh atau pun orang yang di percayai agamanya kerana pasti ada keberkatan dalam memberi nama kepada anak tersebut.Lihatlah, betapa indahnya islam dalam segala aspek kehidupan. Allah S.W.T pun suka kan yang indah indah belaka. Maka carilah nama yang indah untuk anak anak kita.

3. Mengajarkan adab dan Al Quran.

Seorang lelaki perlulah mencari ilmu sebanyak mungkin untuk membina rumahtangga yang barakah. Ilmu itu yang akan membawa kita ke arah kebaikan. Seorang ayah perlu mengajar anak dan isterinya mengenali Allah utamanya.

Awalludin Makrifatullah
"Awal awal agama adalah mengenal Allah"

Jika ada di antara kita yang masih belum mengenal siapa Sang Pencipta, bagaimana hendak beribadah? Soal ibadah adalah perkara yang kedua selepas Mengenal Allah. Pokoknya kenalilah Allah adalah yang utama. Seorang lelaki yang akan menjadi suami atau ayah, perlu memiliki ilmu mengenai adab adab dalam islam dan paling tidak pun boleh membaca Al Quran untuk mengajar isteri dan anak anak kelak. Alangkah rugi jika lelaki tidak punya ilmu sedikit pun walaupun hanya membaca Surat Surat Cinta dari Sang Pecinta Sejati..

Ketiga tiga ini adalah perkara yang Allah akan persoalkan kepada kaum Adam ketika di padang Mahsyar. Para Suami, ayuh didiklah isteri dan anak anak mu ke jalan yang Allah redha agar kita mampu menjawab persoalan yang Allah akan tanyakan kepada kalian kelak..

No comments:

Post a Comment