Thursday, January 2, 2014

adakah Kita kenal Tuhan?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Segala Puji Pujian hanya bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan Salam ke atas Penghulu Kami, Muhammad S.A.W dan keatas ahli keluarga Baginda, dan para sahabatnya serta para tabi' tabi'in.

Alhamdulillah, Allah masih memberiku ilham untuk menukilkan segala yang bersarang di ruang minda ku ini. Semoga titipan ini memberi manfaat pada sesiapa yang membacanya.

Adakah kita kenal Tuhan kita?

Bila bicara tentang Allah, semua pasti tahu Allah itu Tuhan dan Allah ialah nama bagi Tuhan. Tuhan ialah kedudukan bagi Allah. Anologinya seperti ini, ali ialah ayah kepada abu. Tapi siapakah Ali? jawapannya tentu ayah kepada abu iaitu kedudukan Ali itu ayah kepada Abu. Siapa nama ayah abu? jawapannya Ali. kembali kepada konsep tadi, Tuhan itu kedudukan bagi Allah dan Allah itu adalah nama bagi Tuhan.

Pada hakikatnya, ramai orang tahu Allah itu Tuhan mereka, tapi ramai yang tidak sedar yang Allah itu Tuhan mereka. Tahu dan sedar itu perkara yang berbeza. Kita tahu kita punya Tuhan, yang menjadikan kita yang memerintah kita supaya menurut segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya dan kita perlu mengabdikan diri kepadaNya, tapi kita mengendahkan sahaja kerana kita sekadar tahu Allah itu Tuhan. Sedar pula kita tahu Allah itu Tuhan dan kita mentaati segala PerintahNya dan menjauhi segala laranganNya dan kita hanya mengharap kepada Allah sahaja, tidak kepada yang lain selainNya. Kita termasuk didalam golongan yang mana? tahu atau sedar?.....??

Ketika kita sakit demam misalnya, siapakah yang kita cari? pasti kita akan ke klinik untuk bertemu doktor yang akan memeriksa diri kita dan bertanya sakit apa dan memberi ubat yang sesuai untuk diri kita. Jika kita kehausan, kita pasti akan mencari air. Jika kereta kita rosak, kita akan ke bengkel dan mekanik pasti bertanya kepada kita, apa yang rosak pada kereta kita dan lalu membaikinya. Ini kerana kita tahu apa yang kita cari dan kita kenal tempat yang sesuai untuk menyelesaikan masalah kita. Tapi pernahkah kita terfikir bahawa Allah lah yang utama sepatutnya yang kita cari? Kerana Allah pemilik diri kita ini. Pernahkah ketika kita sakit kita cari Allah mohon semoga Allah menyembuhkan kita? Bila mana kita menghadapi kesulitan tapi kita tidak mendatangi Allah sebenarnya kita belum cukup kenal pada Tuhan kita, seperti mana kita mengenal doktor ketika kita sakit, kita tidak mengenal Allah seperti kita mengenal mekanik ketika kereta rosak dan mengenal air yang bisa menghilangkan ketika dahaga.. Kalau kita mengadu pada Allah, Dia tidak akan bertanyakan kepada kita apa masalah kita, malah Allah Maha Tahu akan menyelesaikan segala permasalahan kita tanpa kita berdoa sekali pun. Begitu Allah Maha Hebat. Tapi sedikit sahaja yang mengetahui dan sedikit sahaja yang bersyukur.

Allah itu Dekat

Tahajjud itu adalah sumber kekuatan mukmin. Khalifah Umar Abdul Aziz yang memimpin tentera yang hebat, Sultan Muhammad Al Fateh juga seorang Sultan yang muda dan juga penakluk antara ahli tahajjud. Melalui tahajjud akan melahirkan kekuatan roh dalam perjuangan. Kekuatan dan keteguhan aqidah juga datan lewat tahujjud kita. Menurut Syeikh Daud Abdullah Fathani dalam kitabnya "Munyatul Musolli" solat itu boleh di ibaratkan apa yang kita sembahkan kepada Raja. Adakala, kita hanya melakukan perkara yang terdapat dalam rukun solat sahaja sehingga kita tinggal perkara yang sunat di dalam solat kita, di ibarat seperti kita mempersembahkan kepada Sang Raja sesuatu yang tidak sempurna sifatnya. Kalau anggota badan, seperti tidak berkepala, tidak bertangan dan hanya jasad dan tidak ada roh di dalamnya. Jadi, solatlah dengan sesempurna solat. Solat itu ialah urusan antara kita dengan Al Malik Al Mulk. Kalau urusan dengan Allah pun kita bersambil lewa, maka usah di tanya bagaimana urusan sesama manusia. 

Allah memberitahu kita lewat Quran dalam surah Al Baqarah : 186

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran"

Allah memberitahu bahawa Dia dekat dengan HambaNya dan memperkenankan permohonan hambanNya dan memerintahkan kita supaya menuruti perintahNya dan percaya padaNya. Kalaulah di dalam kehidupan ini, kita mengetahui bahawa Pemimpin besar ingin bertemu kita secara privasi apakah perasaan dan persediaan kita? sudah tentu kita akan siapkan segala persiapan untuk menyambut pemimpin atau raja itu dengan makanan yang enak, menghiasi segalanya supaya nampak indah. Tapi Allah juga datang pada kita tiap tiap hari dan amat menyedihkan ramai di antara kita yang sedang di buai mimpi ketika Allah datang pada kita. Kenapa kita tidak menyambut kedatangan Allah lebih lagi dari seperti kita menyambut pemimpin itu tadi. Lalu tanyakan lah pada diri, kenapa kita biarkan Allah datang tanpa menyambutnya dengan keimanan dan ketaqwaan.

Saudaraku,


Dalam kita mencari khusyuk, solat tahajjud ialah jawapannya,

"Hai orang yang berselimut (Muhammad), Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Qur'an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak)." (Surah Muzzammil : 1-7)

Segala permasalahan kita, cukuplah Allah tempat kita bergantung. Sudah lupakah kita pada pada Surah Al Ikhlas? Atau kita hanya sering membacanya sahaja tetapi tidak tahu apa intipati ayatnya? 

"Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu." (Surah Al Ikhlas : 2)

Sejauh mana kita bergantung pada Allah? adakah kita hanya mencari Allah ketika susah? Ingatilah Allah itu tiap waktu. Ingatlah bukan hanya menggunakan lidah dan untaian tasbih, tetapi zikirlah dengan mata, akal, dan hati. Tatkala di tengah ramai sekali pun hati kita masih mengingati Allah. Bukan hanya ingati Allah ketika solat atau ketika susah. Allah itu perlu di ingat tiap waktu.

Ada orang hanya tahu sungguh tentang konsep tauhid secarai teoritikal tapi alangkah sedihnya apabila dia sekadar mengetahui tetapi tidak menjadikan ilmu itu sebagai amalan di dalam kehidupan sehariannya, dan ada orang tidak tahu secara formal konsep tauhid. tapi secara tidak formal dia kenal Tuhannya dan berharap kepada Tuhannya atas segala sesuatu dalam kehidupan di dunia mahupun di Akhirat.

Ciri ciri ini sebenarnya perlu ada pada setiap daie itu kerana ini akan membentuk diri daie yang sejati dalam menegakkan Kalimah Tauhid di atas Muka bumi ini. Mohonlah kepada Allah hatta kita mencari parking kereta sekali pun. Allah pasti perkenankan. Tahajjudlah di malam hari, bacalah titipan kasih sayang dari Rabb iaitu Quran dan tadabburlah ia agar kita menjadi mukmin sejati dan bisa bangun mempertahankan islam demi Tuhan dan RasulNya dan agar kita layak mendapat Iradah Ilahiyyah iaitu pertolongan Allah yang Allah berikan kepada Ahli Badr. Iradah Ilahiyyah kini telah tiada kerana ketaqwaan umat ini tidak layak mendapat Iradah Ilahiyyah dalam apa jua keadaan. Semoga umat zaman ini mampu terus menegakkan kalimah tauhid yang telah tenggelam dengan sebiji ubat. Kerana ubat juga kita telah syirik tanpa sedar. Walaupun dengan mengucapkan "Alhamdulillah, dah makan ubat tadi, sembuh dah.." sebenarnya kita hanya memuji Allah, tapi kita tidak menyatakan Allah lah yang menyembuhkan kita melalui ubat. Kembalilah kepada Allah !